PH lebih serius tangani rasuah dari PN – Akmal Nasir

0
1

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) disifatkan tidak serius sekali gus gagal dalam memerangi rasuah di negara ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Akmal Nasir berkata kerajaan sebelum ini yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) telah menunjukkan prestasi lebih baik daripada kerajaan PN dalam memerangi gejala rasuah.

Menurut Akmal, laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) diumumkan Transparency International (TI) semalam, membuktikan kegagalan PN memerangi rasuah di Malaysia.

“Skor Malaysia merosot kepada 51 peratus pada 2020 yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara.

“Kemerosotan CPI Malaysia perlu dipandang serius oleh kerajaan selepas prestasi baik pada 2019 dengan peningkatan 10 anak tangga untuk berada di tangga ke-51 berbanding ke-61 pada 2018.

“Komitmen PH dalam menangani rasuah dengan membongkar pelbagai skandal ketirisan di samping melaksanakan penambahbaikan institusi telah berjaya memperbaiki reputasi Malaysia ketika itu, dalam keadaan lebih banyak reformasi institusi masih perlu dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut melahirkan kebimbangan dengan penurunan CPI kerana boleh mempengaruhi keyakinan pelabur.

“Namun prestasi baik ini gagal diteruskan oleh PN yang dilihat tidak memiliki iltizam jelas dalam membasmi rasuah.

“Penurunan CPI ini pasti akan memberi kesan langsung kepada keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia sekali.gus meletakkan beban berganda dalam usaha Malaysia untuk memulihkan kembali ekonomi,” jelasnya.

Tambah Akmal, keyakinan pelabur terhadap Malaysia mula terhakis dan dapat dilihat menerusi kemasukan pelabur asing (FDI) tahun lalu.

“Isyarat jelas hilangnya keyakinan pelabur terbukti melalui dapatan data daripada Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) bagi 2020 yang menunjukkan kemerosotan FDI amat ketara iaitu penurunan 68 peratus dengan hanya mampu menarik pelaburan sekitar US$2.5 bilion,” katanya.

Lebih membimbangkan, Akmal berkata, langkah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melaksanakan proklamasi darurat akan memberi impak besar kepada CPI tahun ini.

“Selepas hampir setahun, kerajaan PN dilihat tidak mampu membawa sebarang reformasi institusi dan ditambah buruk dengan tindakan kerajaan yang tidak telus dalam pengurusan projek bernilai tinggi seperti cara pengendalian pampasan bagi membatalkan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR).

“Tidak mustahil indeks CPI bagi 2021 akan terus merudum jatuh sejajar dengan langkah Perdana Menteri mengumumkan Proklamasi Darurat yang menyebabkan Parlimen digantung sekali gus menggagalkan proses semak dan imbang.

“Tanpa dasar jelas serta kesungguhan dan keberanian politik dalam menangani perkara ini, akan meningkatkan kesukaran untuk ekonomi Malaysia kembali bangkit; memperluaskan kembali budaya ketirisan, kroni dan rasuah; yang akhirnya akan menambah derita sengsara rakyat,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here