Artifak ditemui di Lipis mungkin kapal wap perlombongan emas

0
2

ARTIFAK rangka kapal yang ditemui selepas banjir surut di Kampung Pagar, Mukim Penjom, Lipis, Pahang baru-baru ini berkemungkinan adalah jenis kapal wap yang terbabit dengan kegiatan perlombongan emas.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata daripada analisis awal, kapal berkenaan kemungkinan sepanjang 25 hingga 300 meter panjang.

Katanya, berdasarkan rekod sejarah di kawasan itu, kapal berkenaan boleh dikaitkan dengan kegiatan perlombongan emas di Penjom yang beroperasi sejak abad ke-19.

“Beberapa kapal jenis kapal wap beroperasi atau melalui di sepanjang sungai Pahang di Kuala Pahang, pekan hingga sungai Lipis.

“Antaranya SS Amherst yang dilaporkan karam di Kuala Pahang dan kapal Seri Pahang yang dipercayai karam di Paloh Hinai, Pekan.

“Berdasarkan rekod, sebuah kapal pernah beroperasi di kawasan ini iaitu SS Senyum yang beroperasi dengan syarikat perlombongan emas Penjom, namun tiada rekod ia karam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Perbadanan Muzium Negeri Pahang dan Jabatan Warisan Negara (JWN) menjalin kerjasama memulihara artifak rangka kapal itu.

“Setakat ini Muzium Pahang, JWN bersama masyarakat kampung sudah menjalankan proses dokumentasi, merekod dan memelihara artifak itu,” katanya.

Beliau berkata, artifak itu ditempatkan di Muzium Warisan Lipis yang kini di dalam pengawasan dan penjagaan oleh Pejabat Daerah Lipis.

Katanya, penyelidikan pada fasa seterusnya dijangka melalui proses ekskavasi arkeologi di lokasi kapal itu ditemui untuk mendapat maklumat secara saintifik dan memastikan keseluruhan artifak yang tertinggal dapat ditemukan.

“Daripada tinjauan, lebih 100 pecahan kayu ditemui yang dipercayai sebahagian daripada badan kapal itu berdasarkan morfologi dan jenis kayu dan paku.

“Turut ditemui sejumlah seramik dagangan yang seusia dengan relik kapal itu yang terdiri daripada seramik China dan Eropah di sekitar tapak jumpaan,” katanya.

Malaysiapost sebelum ini melaporkan, sebuah kapal lama dipercayai peninggalan zaman British ditemui di tebing Sungai Pagar, Penjom, Kuala Lipis, selepas banjir besar di kawasan berkenaan surut.

Malangnya, artifak sejarah itu dileraikan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil komponen kapal itu termasuk paku dan tembaga kapal berkenaan. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here