PEMUDA Umno mahu Menteri Kanan
(Perdagangan Antarabangsa dan Industri),
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil menjelaskan kepada rakyat tindakan segera kerajaan untuk menangani kejatuhan teruk Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke dalam negara.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia susulan dalam Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang baru sahaja diterbitkan tig hari lalu, menyaksikan FDI Malaysia bagi 2020 jatuh sebanyak 68 peratus.
Katanya, amat menyedihkan Malaysia yang satu ketika sentiasa berada pada kedudukan teratas dan dikenali sebagai destinasi mesra dan tumpuan utama pelabur asing, kini berkedudukan tercorot.
“Nampaknya kepercayaan dan keyakinan pelabur masih belum pulih terhadap Malaysia setelah berlakunya perubahan Kerajaan pada 2018.
“Antara punca utama adalah ketiadaan polisi ekonomi jelas yang membentuk persepsi bahawa Kerajaan boleh menukar dasar sedia ada yang mungkin tidak memihak pelabur untuk segmen tertentu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, antara perkara yang menjadi faktor penentuan kemasukan pelaburan asing ialah prinsip Pengurusan Risiko pelaburan dan perdagangan antarabangsa yang dipanggil risiko untuk berdagang dengan sesebuah negara.
“Indikator penting ‘sovereign risk’ ialah apabila kontrak-kontrak yang termetrai boleh berubah apabila berubahnya sesebuah kerajaan.
“Banyak peristiwa yang menyumbang kepada peningkatan persepsi risiko untuk berdagang dengan Malaysia setelah jatuhnya Kerajaan Barisan Nasional (BN) tahun 2018,” katanya yang turut menyenaraikan beberapa pembatalan antaranya:
- Pembatalan kontrak perjanjian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan syarikat konglomerat Negara China, China Communications Construction Group Ltd (CCCC).
- Penamatan kontrak perjanjian projek HSR dengan Kerajaan Singapura.
- Penamatan projek Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) sepanjang 600km daripada Melaka dan Port Dickson ke Kulim Kedah bernilai RM 5.35 bilion
- Pembatalan projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) sepanjang 662km daripada Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau bernilai RM4.04 bilion walaupun proses pembinaan sedang berjalan
- Pembatalan projek-projek infrastruktur di Sarawak yang menghubungkan kawasan terpencil seperti jambatan Batang Rambungan, Kuching; jambatan Kuala Kemena, Bintulu; jambatan Batang Lassa, Mukah; jambatan Batang Saribas, Betong; jambatan Batang Krian, Betong dan jambatan Batang Paloh, Mukah. Kerajaan Sarawak terpaksa membiayai sendiri projek ini bagi mengelakkan rakyat negeri tersebut ketinggalan
- Tuduhan liar wujud korupsi dan penyelewengan terhadap syarikat Negara China yang berurusan di Malaysia setelah PH naik memerintah sedangkan Presiden Xi Jinping antara yang keras dan tegas menentang korupsi.
Asyraf berkata, semua insiden itu mempengaruhi persepsi dan sentimen pelabur luar negara ke atas Malaysia hingga menjunamnya kejatuhan nilai FDI.
“…. yang pastinya memberi kesan langsung kepada peningkatan kadar pengangguran dan pembuangan kerja apabila banyak syarikat-syarikat dan kilang-kilang ditutup atau berpindah ke negara-negara jiran,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

