Kain rentang desak Zahid berundur, mungkin perbuatan sabotaj

0
2

TINDAKAN memasang kain rentang mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan yang dikesan di beberapa kawasan mungkin berunsur sabotaj.

Difahamkan, kain rentang itu dipasang di kawasan Tanjung Malim dan Kuala Kangsar, Perak serta Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Jalaluddin Alias berkata, beliau percaya perbuatan itu bukan dilakukan ahli Umno di kawasan berkenaan.

“Tidak tahu siapa yang lakukan, tapi saya tak fikir ada kaitan dengan Umno kerana kita tahu tiada gerakan cuba jatuhkan pemimpin tertinggi dalam parti.

“Mungkin ada gerakan oleh pihak-pihak lain…pembangkang barangkali. Tapi saya difahamkan Umno Bahagian Tanjung Malim dan Bandar Tun Razak sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

“Kita berharap siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenal pasti pelaku yang cuba melakukan propaganda dan menghuru-harakan bukan sahaja keseluruhan kepimpinan dan ahli Umno, tetapi juga rakyat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Terdahulu, tersebar di media sosial beberapa gambar kain rentang yang mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan sebagai Presiden Umno.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata, walaupun berlaku insiden sedemikian, beliau berharap ia tidak melemahkan perpaduan di kalangan pemimpin dan ahli Umno.

“Mungkin ada pihak-pihak yang tidak senang dengan kita, tapi saya berharap seluruh kepimpinan Umno di semua peringkat dapat bertenang dan ambil pendekatan untuk terus perkukuhkan parti.

“Mungkin wujud sedikit perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin Umno tapi ia tidaklah sampai kepada perpecahan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/22/berundurlah-zahid-demi-3-6-juta-ahli-umno/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here