KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumkan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima ditempatkan di Hospital Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), bermula semalam.

KKM menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) MAEPS 2.0 telah mula beroperasi sebagai Hospital Bersepadu MAEPS, bermula kelmarin.
“Hospital Bersepadu MAEPS ini bakal merawat pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima untuk distabilkan sebelum dihantar bagi mendapatkan rawatan rapi di hospital.
“Bermula semalam, telah direkodkan sejumlah 472 orang pesakit Covid-19 kategori tiga dan kategori empat mula ditempatkan di Hospital Bersepadu MAEPS,” katanya.

Menurut KKM, Hospital Bersepadu yang terletak di Dewan B akan menyediakan fasiliti yang sama di hospital lain.
“Seperti peralatan tekanan darah dan negative pressure tent dengan menempatkan 30 katil bagi kategori tiga dan empat.
“Manakala di luar dewan sebuah khemah untuk transit Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 10 katil,” katanya. -Malaysiapost

