Guru cekal mengajar PdPR atas katil anak dirawat Covid-19

0
1

MESKIPUN anak sedang dirawat di hospital, seorang ibu tetap tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai seorang guru.

Kisah seorang guru yang tabah dan cekal mengajar pelajarnya menerusi kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika anaknya sedang menjalani rawatan Covid-19 di hospital telah meruntun perasaan warganet.

Menerusi satu hantaran Facebook, Dr Anayasmin Azmi telah berkongsi pengalamannya berhadapan dengan seorang guru yang masih tidak melupakan professionnya sebagai guru untuk mendidik anak bangsa walaupun dirinya sedang berhadapan dengan ujian yang getir.

“Salute!! Ini yang buat saya kagum pada cikgu ni!

“Anaknya masuk sebab jangkitan paru-paru, yang memerlukan oksigen, masuk wad isolasi sebab nak screen untuk Covid,” katanya.

Menurut Dr Anayasmin, ketika beliau sedang merawat si anak, si ibu pula sedang sibuk bersiap sedia untuk memulakan kelas online bersama pelajarnya.

“Saya tengah periksa anaknya, mata saya ternampak laptop terpampang Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Saya tanya, Puan cikgu?

“Aah doktor, saya nak buat kelas online ni.. Saya minta izin ya, saya tutup langsir semua tak nak ganggu pesakit lain, kata guru tersebut,” catat Dr Anayasmin.

Tidak lama selepas itu, Dr Anayasmin berkata, hati para petugas perubatan tiba-tiba menjadi sayu apabila mendengar sayup-sayup suara guru berkenaan sedang mengajar pelajarnya.

“Beberapa minit lepas tu dari jauh kami dengar beliau mengajar, Differentiation for additional maths..

“Tenang melayan soalan pelajar, dalam PPE ni jiwa kami tersentuh,” catatnya.

Menariknya, menurut Dr Anayasmin, meskipun kadang kala sesi pengajaran guru berkenaan terganggu kerana rengekan anaknya, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk fokus mengajar pelajarnya sehingga kelas online selesai.

“Haa.. Tengok semangat seorang guru., Anaknya tengah pakai oksigen di sebelah, sekali sekala anak merengek minta dipangku.

“Sambil sambung mengajar sambil dipangku anaknya. Sambil kaki dihenjut untuk tenangkan si anak.. Sambil terus mengajar..

“Murid-murid hanya nampak langsir hijau sebagai background yang sebenarnya langsir ‘cubicle’ di wad kanak-kanak hospital. Syabas cikgu!” kata Dr Anayasmin.

Sebelum mengakhiri perkongsiannya, Dr Anayasmin sempat menitipkan pesanan,

“Kadangkala kita hanya nampak apa terpapar, disebaliknya mungkin 1001 jerit perih di pihak sana,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here