Isteri nafi Roy meninggal dunia

0
1

ISTERI kepada penyanyi Roy, Haslinda Abdul Rahman menafikan berita yang mengatakan suaminya sudah meninggal dunia selepas disahkan positif Covid-19 dan mengalami sesak nafas, pada 23 Januari lalu.

Bagaimanapun, Haslinda, 56, mengakui keadaan kesihatan suaminya semakin merosot dan kini dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sungai Buloh.

“Roy dipindahkan semula ke wad kecemasan kira-kira jam 5 petang hari ini kerana kembali mengalami sesak nafas. Selain itu, dia turut mengalami batuk kuat dan kembali lemah seluruh badan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Haslinda dan anak-anak mereka kini menjalani kuarantin di rumah di Banting dan tidak dibenarkan melawat Roy buat masa ini.

Semalam, Roy, 57, yang popular dengan lagu Kau Ratnaku dan Diari Mimpi serta pernah menyertai Gegar Vaganza musim keenam mengesahkan dirinya positif Covid-19 tahap empat dan sudah dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi mengakui tabah menerima keputusan ini dan reda dengan ketentuan takdir.

“Ramai juga artis dijangkiti Covid-19 tanpa tahu dari mana puncanya seperti saya.

“Apa lagi yang boleh dibuat selain saya kena tawakal kepada Allah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, restoran milik keluarganya di Banting ditutup sementara manakala isteri dan anak-anak menjalani kuarantin di rumah.

Roy dimasukkan ke Hospital Banting tengah malam Sabtu lalu akibat sesak nafas dan disahkan positif Covid-19.

Dia mulanya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan tetapi dirujuk ke hospital oleh doktor.

Hasil pemeriksaan, doktor mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru. -Malaysiapost

Artikel Berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/25/roy-positif-covid-19/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here