BEBERAPA ahli kariah Surau Matahari Height di Seremban diberikan nasihat serta teguran oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Ia kerana mereka didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu mengadakan jamuan selepas selesai solat Maghrib malam semalam.
Jurucakap JHEAINS berkata, pemantauan anggota penguat kuasa mendapati beberapa orang berkumpul di surau berkenaan antara solat Maghrib dan Isyak.
“Perkara itu (mengadakan jamuan) melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh JHEAINS sepanjang pelaksanaan PKP ini.
“Sehubungan itu, mereka telah diberikan nasihat dan teguran selain diminta hadir ke pejabat JHEAINS dalam masa terdekat,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Menurut jurucakap itu, kesemua mereka bagaimanapun tidak dikenakan kompaun sebaliknya hanya direkodkan nama. – Malaysiapost

