BEKAS Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mendedahkan beliau diminta oleh Tun Dr Mahathir Mohamad supaya meletak jawatan sehari selepas menggalas tugas tersebut.
Dalam memoir yang berjudul “My Story: Justice in the Wilderness”, Tommy menceritakan, Dr Mahathir yang ketika itu merupakan Perdana Menteri ketujuh adalah juga individu yang melantik beliau.
Memoir terbitan Gerak Budaya itu bakal berada di pasaran pada 30 Januari nanti.
“Semua sokongan untuk saya hilang tiba-tiba. Tun mengejutkan saya. Di sebalik keputusan Agong, Tun mahu saya letak jawatan kerana bantahan kuat orang Melayu terhadap pelantikan saya.
“Saya sangat terkejut. Tun mahu peletakan jawatan saya keesokannya. Peluang profesional dalam seumur hidup terlepas dari tangan saya sebelum saya sempat menarik nafas,” menurut prolog itu.
Menerusi buku itu turut memberitahu berkenaan bekas Peguam Negara tersebut membincangkan keputusan penting yang dibuatnya, termasuk pendakwaan bekas perdana menteri, Najib Razak, Jho Low, Arul Kanda dan Goldman Sachs atas peranan mereka dalam skandal 1MDB.
Tambahnya dalam laman web itu: “Bukunya ialah kisah dalaman pertama oleh seorang pegawai kanan kerajaan Pakatan Harapan mengenai pencapaian, kekecewaan dan kegagalan pentadbiran bukan Barisan yang pertama dalam sejarah 60 tahun kemerdekaan Malaysia.
“Suara tulennya dirakam dalam memoir tanpa berselindung ini, dan disyorkan untuk dibaca oleh sesiapa saja yang berminat dalam politik dan undang-undang Malaysia,” tulisnya
Terdahulu, Thomas meletak jawatan pada 28 Februari 2020, selepas kejatuhan kerajaan PH susulan “Langkah Sheraton” yang menyebabkan Mahathir meletak jawatan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih jawatan Perdana Menteri dengan sokongan Umno, PAS, Bersatu dan GPS.
Buku itu turut menceritakan peristiwa yang membawa kepada kejatuhan PH dan maklumat baru ketika PH berkuasa. -Malaysiapost

