Hadi mulut celupar – Wira Putra

0
1

WIRA Putra Malaysia mendesak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bermuhasabah diri kerana disifatkan mulut celupar dan tidak melambang seorang pemimpin Islam.

Ia berikutan kenyataan Abdul Hadi dalam sebuah media yang mengatakan, ramai orang muda Melayu beragama Islam di negara ini ‘dirasuk syaitan-syaitan’ tertentu kerana lemah mendaftar untuk menjadi pengundi.

Menurut Ketua Penerangannya, Asraf Rosli, dari kenyataan yang dikeluarkan ini, ia tidak melambangkan beliau adalah seorang presiden yang datang dari sebuah parti yang berteraskan Islam.

“Persoalannya “dirasuk syaitan-syaitan” merujuk kepada siapa? Sebagai seorang presiden, Tuan Guru Abdul Hadi sepatutnya memikirkan kata-kata yang sesuai bagi sesebuah ucapan dan perkataan ‘syaitan’ ini tidaklah sesuai untuk diperkatakan sebagai sebahagian ucapan mahupun ulasan didalam media masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Asraf, berkenaan dengan orang Melayu muda lemah untuk mendaftar menjadi pengundi adalah berpunca daripada keadaan politik yang bercelaru sekarang.

“Walaupun banyaknya parti politik yang menjadi kerajaan, tetapi anak-anak muda masih gagal untuk melihat gerak kerja yang berjaya mencuit hati mereka melalui parti politk kerajaan sedia ada.

“Ini adalah kerana banyaknya janji-janji kosong, undang-undang “double standard” antara pemimpin dan rakyat, bantuan yang dikatakan bersasar tepi ketika pelaksanaan ramai anak muda tercicir dari bantuan sehinggakan mereka muak dengan arena politik hari ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Wira Putra mendesak agar Abdul Hadi memohon maaf secara terbuka kepada rakyat khususnya kepada orang Melayu muda yang dituduh ‘dirasuk syaitan’.

“Sepatutnya Tuan Guru mencari cara bagaimana hendak menyantuni anak-anak muda supaya berminat semula untuk memahami politik dan seterusnya mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.

“Ingat cerminan tingkah laku anak muda hari ini adalah berdasarkan acuan dan ajaran yang ditunjukkan oleh pemimpin sedia ada seperti pepatah melayu mengatakan bahawa “tiada yang lama, tiada yang baharu”.

“Ada pepatah melayu mengatakan, “Enak lauk dikunyah-kunyah, enak kata diulang-ulang,” katanya.

Wira Putra ingin sekali lagi mengingatkan supaya Presiden PAS itu memohon maaf atas kata-kata yang kurang enak seperti syaitan.

“Ia agar anak-anak muda khususnya orang melayu terbuka hati untuk berjinak semula dengan politik tanah air dan seterusnya memahami mengapa mereka ini harus berdaftar sebagai pengundi,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here