Barang kemas pesakit Covid-19 ‘lesap’

0
1

SEORANG juruteknik membuat laporan polis berhubung kecurian barang kemas ibunya yang meninggal dunia disyaki akibat Covid-19 di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, Ahad lalu.

T Narenthiran, 31, dalam laporan polis yang dibuat mendakwa ibunya memakai set perhiasan emas ketika dia dan kakaknya membawanya ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan selepas demam dan sukar bernafas sebelum disahkan meninggal dunia.

“Semasa saya membawa ibu ke hospital, dia memakai barang kemas iaitu rantai emas berharga RM7,500, subang telinga emas berharga RM1,750, tiga gelang dan sebentuk cincin.

“Namun, ketika saya menuntut mayat ibu pada hari berikutnya, pihak hospital menyerahkan borang harta benda pesakit dan hanya sebentuk cincin emas berada dalam senarai borang itu, manakala barang kemas lain tiada,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

Narenthiran mengesyaki ada individu yang tidak bertanggungjawab mengambil barangan kemas berkenaan dan mendakwa keluarga mereka kerugian kira-kira RM9,250 atas kehilangan barang kemas terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim, mengesahkan menerima laporan mengenai kes berkenaan.

“Kita ada terima laporan mengenai perkara itu (kehilangan barang kemas daripada badan pesakit), setakat ini ia masih dalam siasatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here