PASANGAN suami isteri jarak jauh dibenarkan melakukan perjalanan rentas negeri bagi bertemu keluarga masing-masing bermula esok.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pasangan terbabit bagaimanapun perlu mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada polis sebelum membuat perjalanan.
“Satu perkara yang mungkin menggembirakan adalah mengenai pasangan suami isteri jarak jauh dimana banyak keluhan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan merayu supaya dibenarkan pulang untuk bertemu pasangan serta anak-anak
“Oleh itu Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam membincangkan keluhan pasangan ini dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerajaan bersetuju untuk membenarkan pasangan suami isteri yang berjauhan disebabkan bekerja untuk merentasi negeri bertemu keluarga masing-masing,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, ia sama juga jika berlaku kecemasan atau kematian yang memang kerajaan benarkan tetapi perlu maklumkan polis dan dapatkan kebenaran.
“Bagaimanapun, bagi pasangan yang bergejala mereka dinasihat mendapatkan rawatan terlebih dahulu atau sekurang-kurangnya membuat saringan Covid-19 sebelum mereka pulang.
“Kita tidak mahu akhirnya akan membahayakan keluarga masing-masing atau lebih baik tangguhkan dulu sehingga gejala sembuh,” katanya. -Malaysiapost

