Covid-19: 186,849 kes positif dalam negara dalam tempoh setahun

0
1

JUMLAH kes harian positif Covid-19 dalam negara menunjukkan trend penurunan dua hari berturut selepas mencatatkan 3,048 kes pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan 3,040 kes penularan tempatan dan lapan lagi adalah import.

Katanya, dengan jumlah itu secara keseluruhan selepas genap setahun Covid-19 dalam negara adalah 186,849 kes.

“Selangor merekodkan kes harian negeri tertinggi dengan 1,035 kes, diikuti Johor (529); Sabah (348); Kuala Lumpur (305); Sarawak (120); Pulau Pinang (110) dan Perak (103).

“Hanya Labuan sahaja tidak merekodkan kes hari ini dan negeri lain pula mencatatkan bilangan kes kurang daripada 100,” katanya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes sembuh hari ini mencatatkan 3,638 kes dengan jumlah keseluruhan kes sembuh adalah 145,084.

“Terdapat 41,076 kes aktif di mana 261 kes mendapat rawatan di unit rawatan rapi (ICU) serta 101 memerlukan bantuan alat penafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat 11 kematian akibat Covid-19 hari ini dan jumlah kematian adalah 689,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here