KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ‘turun padang’ ke Alor Setar bagi melihat sendiri kesiapsiagaan darurat pandemik Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah.
Dalam tinjauan yang dilakukan pagi tadi itu Dr Noor Hisham memaklumkan JKN Kedah telah berjaya menubuhkan 11 Covid-19 Assessment Centre (CAC) iaitu sebuah CAC di setiap daerah untuk memantau pesakit kategori 1 dan 2 Covid-19 dan menerima pesakit melalui “stepdown care” dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dan hospital.
“JKN Kedah sedang merangka agar program CAC ini akan dapat beroperasi selama 24 jam dan bercadang untuk mewujudkan CAC bergerak bagi memantau pesakit yang mempunyai masalah mobilisasi atau dari kalangan golongan rentan.
“Manakala, selain daripada pembentukan CAC, Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan khidmat pandu-lalu bagi melicinkan proses saringan Covid-19 dengan mengubahsuai laluan klinik,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Berita berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2020/12/30/dr-noor-hisham-turun-padang-tinjau-situasi-covid-19-di-melaka/
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata beliau turut mengambil peluang untuk meninjau fasiliti kesihatan di Hospital Alor Setar yang menempatkan pesakit-pesakit Covid-19.
“Ribuan penghargaan kepada JKN Kedah dan kesemua petugas kesihatan di negeri Kedah di atas usaha membendung penularan pandemik Covid-19 ini.
“Semoga segala penat lelah dan keringat yang menitis tatkala berpanasan memakai PPE untuk menyaring dan merawat pesakit-pesakit Covid-19 diberikan balasan yang setimpal oleh Tuhan,” katanya. -Malaysiapost

