Nurul Huda Abhar
TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan tiada sebarang perbincangan dalam Majlis Tertinggi (MT) parti itu berkenaan pemilihan namanya sebagai calon Perdana Menteri Muafakat Nasional (MN).
Mohamad Hasan berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati dengan penyebaran berita palsu yang mudah tersebar secara meluas.
“Sila ambil maklum. Ini adalah berita palsu.
“Berita palsu ‘lebih cepat’ tersebar berbanding virus Covid-19. Berhati-hatilah,” tulisnya di hantaran Facebook, hari ini.
Beliau juga memuat naik tangkap layar petikan berita yang bertajuk ‘Tok Mat dipilih sebulat suara sebagai calon PM Muafakat Nasional PRU-15’.
Turut dinyatakan dalam tangkap layar itu kononnya pada Mesyuarat MT Umno baru-baru ini , nama Tok Mat disenaraikan sebagi calon PM bagi MN dan telah mendapat undian yang tertinggi berbanding calon-calon lain.
“Fakta tidak benar! Tiada perbincangan berkaitan dalam mesyuarat MT Umno. Artikel berunsur fitnah ke atas pemimpin Umno,” katanya.
Baru-baru ini, dilaporkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hilang sokongan majoriti apabila hanya disokong 109 ahli Parlimen daripada 222 kerusi.
Ia selepas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN). -Malaysiapost
Berita berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/19/saya-tak-mau-menambah-duka-parti-mesti-diperkasa-tok-mat/

