Covid-19: Beri subsidi kepada rakyat jalani ujian saringan sukarela

0
2

KERAJAAN dicadang melaksanakan ujian saringan sukarela yang dibuat secara berkala kepada rakyat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang semakin serius di negara ini.

Bendahari Pemuda Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri, berkata pendekatan itu sekali gus membolehkan setiap individu yang berisiko dan terdedah kepada virus mengambil inisiatif kendiri menjalani saringan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Pendekatan ini wajar dibuat segera ekoran ramai individu yang dijangkiti tidak mempunyai gejala. Mereka ini berisiko menjangkiti orang lain termasuk ahli keluarga dan kenalan, termasuk golongan berusia dan mereka yang berpenyakit kronik.

“Dengan langkah ini, mana-mana individu yang disahkan positif boleh mengambil langkah membuat pengasingan segera dan kuarantin diri secara serta merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Sri Gading berkata, kos ujian saringan RT-PCR dan RTK-Ag yang tinggi menjadi masalah yang membelenggu sebahagian rakyat ketika ini terutama kepada golongan B40.

“Kita percaya sebahagian besar rakyat memiliki kesedaran dan kemahuan yang tinggi untuk jalani ujian saringan kendiri bagi melindungi keluarga dan insan tersayang.

“Justeru, kerajaan perlu menambah dana bagi membeli lebih banyak kit-kit saringan khususnya RTK-Ag serta mengedarkan segera ke semua fasiliti kesihatan awam dan swasta terpilih.

“Ini bagi membolehkan sesiapa saja boleh dibenarkan untuk menjalani saringan, dengan menetapkan syarat tempoh tertentu seperti hanya dibenarkan dua minggu sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemegang polisi insurans peribadi mesti dibenarkan untuk menggunakan perlindungan insurans mereka untuk melakukan ujian saringan Covid-19 di semua fasiliti hospital swasta serta makmal yang dibenar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, industri insurans dan takaful ketika ini tidak membenarkan ujian saringan Covid-19 secara bebas dibuat kepada pemegang polisinya, disebabkan Covid-19 adalah pandemik kerana ia tidak diinsurankan/dilindungi di bawah manfaat insuran/takaful perubatan serta kesihatan.

“Maka kerajaan boleh menggunakan peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa ketika ini untuk mengenepikan segala sekatan dan halangan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pemuda Umno Kelantan mencadangkan Kerajaan menimbang untuk memberikan subsidi 50 peratus terhadap kos ujian Swab Test secara Kit Ujian Pantas (RTK) yang boleh diakses di mana-mana premis perkhidmatan kesihatan termasuk klinik-klinik swasta yang berharga lebih murah berbanding ujian secara PCR.

Naib Ketuanya, Shahrul Fadhel Mohd Aziz berkata, jika langkah ini diumumkan kerajaan, pihaknya yakin lebih ramai rakyat akan tampil membuat ujian itu secara sukarela.

“Selain itu, kerajaan diminta menggesa hospital-hospital swasta menawarkan perkhidmatan Swab Test dengan harga yang jauh lebih murah daripada apa yang dikenakan ketika ini.

“Inilah masa yang sangat sesuai bagi syarikat-syarikat korporat ini menyerlahkan kesanggupan mereka menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), dalam keadaan semua pihak harus berganding bahu mengambil tanggungjawab bersama memerangi wabak ini daripada terus mengundang resah di kalangan masyarakat,” katanya.

Justeru, katanya, Pemuda Umno Kelantan berharap langkah-langkah ini dipandang serius dan segera dilaksanakan oleh pihak yang bertanggungjawab.

“Seandainya pihak fasiliti kesihatan swasta keberatan untuk menurunkan harga ujian Saringan Covid 19 , kerajaan boleh menggunakan kuasa-kuasa perlu dalam Proklamasi Darurat yang sedang dilaksanakan,” katanya. -Malaysiapost

Berita berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here