YADIM sokong pinda undang-undang syariah tangani isu transgender

0
2

YAYASAN Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melihat usaha kerajaan meminda undang-undang syariah dan menubuhkan jawatankuasa bertindak menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual sebagai usaha dakwah yang wajar disokong dan didukung seluruh rakyat Malaysia.

Yang Dipertua YADIM, Nasrudin Hassan berkata, dakwah tidak sekadar menyeru atau mengajak ke arah mentaati perintah Allah serta mematuhi syariat Nabi Muhammad secara lisan semata-mata.

“Perlaksanaan undang-undang yang menepati syariat serta pembentukan Jawatankuasa Bertindak (Task Force) bagi mendidik dan membimbing masyarakat agar menjalani kehidupan patuh syariat serta mencegah aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transeksual dikalangan umat Islam sebagaimana yang dipertegaskan oleh Ustaz Marzuk Shaary (Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) juga adalah satu usaha dakwah besar negara.

“Dakwah ini adalah untuk membina sebuah masyarakat yang soleh dan bermoral sekali gus membentuk sebuah negara yang sejahtera dari keruntuhan akhlak dan peradaban. Kemudiannya, mengundang rahmat dan Keampunan Allah menepati piawaian Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur.

“Penularan budaya yang menyongsang fitrah dan normalisasi aktiviti lesbian, gay, biseksual dan transeksual dalam negara kita mutakhir ini kian membarah. Ia wajar ditangani dengan serius dan penuh hikmah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berita berkaitan:

Menurut Nasrudin, fenomena tidak bermoral itu turut mencemar budaya, meruntuh institusi kekeluargaan dan merosakkan nilai keperibadian individu, khasnya bagi mereka yang beragama Islam.

Beliau menambah, pelaksanaan “hidup mematuhi aturan agama” tidak boleh hanya dengan seruan khatib di mimbar, alim ulamak di majlis ilmu dan para intelektual Islam di bilik kuliah universiti semata-mata.

Malah, beliau menegaskan tindakan perlu kepada penguatkuasaan undang-undang untuk membendung agenda pihak tertentu yang mahu meruntuhkan peradaban negara.

“YADIM tidak sekadar menyokong hasrat murni kerajaan tersebut, tetapi bersedia untuk menjadi satu agensi yang berperanan bagi membantu usaha dakwah ke arah menyelamatkan mereka yang terjebak dalam kancah lesbian, gay, biseksual dan transeksual serta meluruskan pemikiran masyarakat agar tidak terpengaruh dengan agenda normalisasi aktiviti mungkar tersebut,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here