JURULATIH Real Madrid, Zinedine Zidane disahkan positif Covid-19, umum kelab berkenaan.
Keputusan ujian itu hadir sehari sebelum kelab itu berkunjung ke Alaves untuk aksi La Liga dalam usaha bangkit daripada kekalahan memalukan tersingkir pada saingan Copa del Rey.
“Real Madrid melaporkan jurulatih kami, Zinedine Zidane diuji positif Covid-19,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
AFP melaporkan Zidane sudah pun menjalani proses pengasingan diri bulan ini selepas mempunyai kontak rapat bersama individu yang positif virus itu.
Dia kemudian disahkan negatif dan meneruskan tugasnya membimbing pasukan.
Selepas tewas di Piala Super Sepanyol dan Copa del Rey, Zidane sekali lagi berdepan tekanan dalam usaha memperbaiki prestasi Real Madrid untuk mencabar kejuaraan La Liga apabila berkunjung ke Alaves.
Penolong jurulatih, David Bettoni berkata Zidane berada dalam keadan baik selepas didapati positif wabak itu namun kecewa kerana tidak dapat bersama pemain.
“Saya bercakap dengannya dan dia berada dalam keadaan baik,” kata Bettoni. – Malaysiapost

