HAKIM Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menjatuhkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC International) Julai tahun lalu, dipindahkan semula ke Mahkamah Sivil.
Arahan pemindahan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah 3) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (NCvC 2) itu dikeluarkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan berkuat kuasa 1 Mac ini.
Perkara itu dimaklumkan kepada anggota Majlis Peguam menerusi pekeliling dikeluarkan semalam, lapor Berita Harian.
Sebelum ini, Mohd Nazlan menyifatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International dihadapi bekas Perdana Menteri itu adalah kesalahan salah guna kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang paling teruk.
Artikle berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/23/ya-betul-dia-hakim-mahkamah-sivil-sebelum-dilantik-ph-najib/
Pada 28 Julai tahun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.
Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Najib turut diperintahkan dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, tambahan lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.
Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak, bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Sementara itu, Mohd Nazlan masih perlu mendengar dan memutuskan beberapa kes berprofil tinggi sebelum pemindahannya pada 1 Mac ini antaranya kes lucut hak 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$340 juta ke atas PetroSaudi International Limited dan empat lain.
Selain itu, beliau menetapkan 3 Februari ini untuk keputusan kes membabitkan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang didakwa atas sembilan pertuduhan rasuah.
Mohd Nazlan dilantik Pesuruhjaya Kehakiman pada 10 April 2015 dan Hakim Mahkamah Tinggi pada 30 Januari 2017. – Malaysiapost

