
DATUK Seri Najib Razak sebentar tadi memberi respon terhadap laporan berhubung Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dipindahkan semula ke Mahkamah Sivil.
Mohd Nazlan adalah hakim yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC International) Julai tahun lalu.
Bekas Perdana Menteri itu berkata Mohd Nazlan dilantik hakim Mahkamah Tinggi Sivil pada 2017 sebelum setahun kemudian dipindahkan, seminggu selepas Ketua Hakim Negara dilantik oleh Pakatan Harapan (PH).
“Betul. Dia dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi Sivil pada 30 Januari 2017.
“Setahun kemudian, dia tiba-tiba dipindah dari Mahkamah Sivil oleh ketua hakim negara yang baru dilantik seminggu oleh PH ke Mahkamah Jenayah untuk menggantikan hakim lain walaupun kes SRC sudah berjalan dan menjadi kes jenayah pertama mahkamah tinggi dia.
“Sekarang dia dipindahkan semula ke mahkamah sivil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu hari ini Mohd Nazlan dilaporkan dipindahkan ke Mahkamah Sivil berkuat kuasa 1 Mac ini.
Arahan pemindahan dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Jenayah 3) ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (NCvC 2) itu dikeluarkan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed.
Perkara itu dimaklumkan kepada anggota Majlis Peguam menerusi pekeliling dikeluarkan semalam.
Sebelum ini, Mohd Nazlan menyifatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International dihadapi bekas Perdana Menteri itu adalah kesalahan salah guna kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang paling teruk.
Pada 28 Julai tahun lalu, Mohd Nazlan memerintahkan Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah.
Beliau juga menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atau tambahan lima tahun penjara jika gagal membayarnya kepada Ahli Parlimen Pekan itu bagi satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan.
Najib turut diperintahkan dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, tambahan lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan. – Malaysiapost
