BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berada dalam keadaan sihat dan tidak dimasukkan ke hospital.
Perkara itu dimaklumkan sendiri Dr. Mahathir melalui satu rakaman video yang dikongsi di Facebooknya hari ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu memberitahu beliau kini berada di rumah, bukannya di hospital seperti yang tular di media sosial.
“Hari Sabtu 23 hari bulan Januari, saya berada di rumah,” katanya dalam rakaman video yang hanya berdurasi enam saat itu.
Terdahulu difahamkan terdapat mesej yang tersebar di media sosial mengenai keadaan kesihatan beliau yang dikatakan tidak sihat dan mengalami kesukaran bernafas.
Berita palsu itu tersebar sehari selepas Dr. Mahathir memaklumkan di blognya bahawa seorang ahli keluarganya dijangkiti Covid-19 dan kemudian menjangkiti beberapa yang lain ketika menjalani kuarantin di rumah. – Malaysiapost

