
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memandang serius perkembangan peningkatan kes Covid-19 serta kluster-kluster berkaitan tempat kerja yang dilihat mutakhir ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan itu kemungkinan berkait rapat dengan peningkatan ujian yang dilakukan secara bertumpu bagi mengesan lebih banyak kes dengan secepat mungkin dan seterusnya mengawal penularan Covid-19.
Menurutnya, sejak 1 Disember lalu, kerajaan telah melaksanakan ujian saringan Covid-19 kepada semua pekerja asing di beberapa negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Sehingga 22 Januari 2020, sejumlah 350 kluster baharu telah dilaporkan dan sebanyak 225 kluster (64.3 peratus) merupakan kluster berkaitan tempat kerja.
“Sejumlah 112,225 individu telah disaring, di mana 28,477 kes (25.4 peratus) telah dikesan positif dalam kluster-kluster ini.
“Daripada kluster-kluster tempat kerja yang dilaporkan, kluster berkaitan perkilangan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 80 kluster (35.6 peratus), diikuti kluster tapak pembinaan sebanyak 53 kluster (23.6 peratus) dan kluster berkaitan perkhidmatan sebanyak 31 kluster (13.8 peratus),” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, secara keseluruhan setakat ini terdapat 724 kluster termasuk 11 kluster baharu dilaporkan hari ini.
“Jumlah kluster yang tamat ialah 383 (termasuk lima kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Rusa, Kluster Tower, Kluster Cassia Diamond, Kluster Bukit Punai dan Kluster Estate Maju).
“KKM juga ingin memaklumkan terdapat 11 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini, yang membabitkan lapan kluster berkaitan tempat kerja serta masing-masing satu kluster komuniti, kluster keagamaan dan kluster pusat tahanan,” katanya Malaysiapost
