UMNO jangan sombong, bongkak dan angkuh, kata Exco Pergerakan Pemudanya, Wan Muhammad Azri Wan Deris.
Wan Muhammad Azri atau lebih dikenali sebagai Papagomo berkata parti itu perlu mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999.
Katanya, pada tahun itu jika tidak kerana undi kaum bukan Melayu dan juga Bumiputera Sabah Sarawak sudah pasti Umno dan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa kepada Barisan Alternatif.
“Pilihan raya 1999 telah menunjukkan bahawa BN tidak boleh beranggapan bahawa Umno akan selalu menang. Sokongan Melayu untuk Ummo tidak terjamin dan kejayaannya dalam pilihan raya ini adalah disebabkan oleh undi-undi pengundi bukan Melayu serta sokongan yang kuat daripada negeri Sabah dan Sarawak.
“Apakah kita ahli dan pemimpin parti Umno masih merasakan kita kuat dan akan dipilih rakyat pada pilihanraya akan datang? Adakah kita sedar bahawasanya rakyat telah menolak kita pada PRU ke 14 yang lalu yang mana buat pertama kali nya kita telah hilang kuasa yang telah diamanahkan oleh orang orang Melayu?
“Apakah kita lupa bahawa rakan komponen Umno yang telah membantu menyelamatkan kita pada PRU 1999 juga telah kalah teruk dan lari meninggalkan kita pada PRU 2018 lalu?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Katanya, hari ini Umno bukan seperti dulu boleh mengharapkan undi orang Melayu apatah lagi mengharapkan undi bukan Melayu.
“Jangan diharap undi kaum lain jika undi Melayu itu sendiri telah berpecah dan telah terbukti DAP telah menjadi pilihan kaum bukan Melayu sejak 2008 lagi dan kemuncaknya pada pilihanraya ke 13 tahun 2013.
“Jadi apa pilihan yang Umno ada hari ini? Mahu Muafakat Nasional bersama PAS dan tolak kerjasama dengan Bersatu? Bagaimana mahu Muafakat Nasional (MN) jika dalam masa yang sama PAS memberikan jawapan yang parti mereka mahu bersama Umno dan Bersatu?
“PAS main dua kolam? PAS kawin dua? Itu semua bukan PAS peduli kerana PAS telah memberikan jawapannya dengan tegas tidak akan akan bekerjasama dengan DAP apatah lagi bersekongkol dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sudah serik dan tahu apa ancaman yang dibawa,” katanya.
Wan Muhammad Azri berkata, inilah masanya untuk parti mengenepikan ideologi politik kepartian dan bersama dalam memastikan kuasa politik Melayu Bumiputera diterjemahkan dengan mandat rakyat 2/3 majoriti parlimen.
Katanya, pada waktu ini ambillah kesempatan dan peluang mungkin buat kali terakhir yang orang Melayu ada untuk menguatkan kembali landskap politik negara dengan meletakkan Islam Melayu Raja Bumiputera ke tempat yang lebih tinggi.
“Sekarang dalam tempoh darurat adalah masa terbaik untuk kita akar umbi dan pimpinan parti mengukuhkan parti keramat orang Melayu ini.
“Gunakan peluang yang ada untuk memberikan keyakinan kepada pengundi Melayu agar mereka melihat Umno parti rakyat dan perjuangannya adalah untuk membela kebajikan Rakyat dan memakmurkan ekonomi negara,” katanya. -Malaysiapost

