Penggunaan vaksin Covid-19 harus, demi maslahah ummah

0
2

KEPUTUSAN yang menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara perlu dipatuhi demi kebaikan bersama.

Institusi fatwa dunia menyatakan bahawa penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus, kerana ia keputusan demi maslahah ummah

Dalam khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertajuk “Maslahah demi kepentingan Ummah” menjelaskan

Islam amat menekankan tentang kewajipan taat dan patuh kepada pemerintah dan mematuhi hukum-hakam yang digariskan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Ketaatan dan kepatuhan kepada pemerintah juga merupakan antara prinsip yang digariskan dalam Ahli Sunnah wal Jamaah selagimana ia tidak menyeru untuk melakukan kemaksiatan.

Mentaati pemerintah juga termasuk dalam mentaati Allah SWT dan mentaati Rasulullah SAW sebagaimana terkandung dalam Surah al-Nisa’ ayat 59:

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada
“Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu”.

Kewajipan taat dan patuh kepada pemerintah ini juga berpandukan kepada hadis Rasulullah SAW:

Mafhumnya: “Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada pemerintah) pada apa-apa yang dia cintai atau dia benci kecuali jika dia disuruh untuk melakukan kemaksiatan. Jika dia disuruh untuk melakukan kemaksiatan, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 3 Disember lalu telah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan ditetapkan kerajaan.

Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira tanggungjawab pihak pemerintah untuk memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah (kebaikan) kepada keseluruhan rakyat.

Keputusan ini juga dibuat setelah menimbang tara faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan daripada pihak yang berkepakaran dan berautoriti dalam bidang masing-masing.

Tindakan ini berpandukan kepada kaedah fiqh:

Maksudnya: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah (kebaikan)”.

Institusi fatwa dunia juga turut memfatwakan keharusan penggunaan vaksin, antaranya institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif; Majlis Fatwa Kerajaan Emiriah Arab Bersatu; dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat.

Sebagai umat Islam yang berpegang dengan akidah Ahli Sunnah wal Jamaah, kita wajib mentaati keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan dalam isu keharusan vaksin ini.

Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan hukum dan menghalang umat Islam yang lain untuk mengambilnya tanpa ada bukti dan fakta yang kukuh.

Rasulullah SAW sendiri menyuruh kita berusaha untuk menyembuhkan sakit sebagaimana sabda Baginda SAW:

Mafhumnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menurunkan penyakit dan ubat, dan menjadikan setiap penyakit itu ada ubatnya. Maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan sesuatu yang haram”. (Hadis riwayat Abu Dawud) Pihak kerajaan telah melakukan kajian dan penilaian yang mendalam bagi meneliti setiap vaksin yang akan diambil.

Pada masa sama, kerajaan juga mengambil kira pandangan daripada para Mufti dari dalam dan luar negara sebelum menentukan hukum
vaksin ini.

Fatwa ini merupakan sebuah ijtihad dan ia bersifat semasa yang digalakkan oleh Nabi Muhammad SAW bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang berlaku pada masa ini. Sabda Rasulullah SAW:

Mafhumnya: “Kamu lebih mengetahui urusan duniamu” (Hadis riwayat Imam Muslim). Arahan yang dikeluarkan oleh pemerintah juga adalah bersifat menolak sedaya mungkin faktor-faktor yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar meskipun terpaksa mengenepikan beberapa maslahah-maslahah yang tertentu. Langkah ini berdasarkan kepada kaedah fiqh:

Maksudnya: “Menolak mafsadah (keburukan) adalah lebih utama berbanding mendatangkan kebaikan”.

Justeru, taatlah kepada keputusan yang telah dibuat. Inilah ijtihad dan usaha yang telah dibuat oleh ilmuwan Islam yang berkelayakan.

Sedangkan kita sendiri tidak memiliki pengetahuan yang mendalam untuk menentukan sesuatu hukum.

Maka, patuhlah dengan keputusan fatwa yang telah dibuat. Mudah-mudahan kita semua mendapat keberkatan dari Allah SWT dan seterusnya mengakhirkan musibah wabak Covid-19 ini. Insya-Allah.

Firman Allah SWT dalam surah ali Imran ayat 159, maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu.

Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga
bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.

Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya”. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here