JUMLAH gelandangan di Johor dijangka meningkat lebih sekali ganda selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Perkara itu dinyatakan Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hairi Mad Shah berdasarkan pemerhatiannya susulan lebih ramai rakyat terkesan lantaran sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.
“Malam tadi saya tergerak untuk memantau dan membuat tinjauan bagi melihat lebih dekat bagaimana kelompok mereka yang terkesan ini ‘struggle’ ketika musim pandemik Covid-19.
“Sayu dan tersentuh hati apabila melihat seorang ibu bersama beberapa anak kecil yang tinggal di kaki lima. Fikiran saya ketika itu terus terbayang anak-anak saya di rumah. Ya Allah besarnya ujian buat mereka ini.
“Saya mohon tidak kira swasta dan agensi berkaitan dapat bergabung memikirkan dan sama-sama menangani isu ini. Cuba kita fikir, bagaimana jika ada keluarga kita di situ,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Hairi berkata, Johor mencatatkan tangga kedua jumlah gelandangan iaitu 20 peratus daripada hampir 2,000 gelandangan pada pada Julai tahun lalu, ketika pasca PKP pertama.
“Pasca PKP 2.0 ini? Saya yakin dan percaya jumlah itu meningkat sekali ganda, bahkan mungkin lebih. Ini bukan main-main atau sembang kosong.. ini adalah fakta,” katanya. – Malaysiapost

