Thaipusam: Pemuda MIC Kedah dakwa MB tak hormati sensitiviti kaum India

0
2

PERGERAKAN Pemuda MIC Kedah mengesa Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor mengkaji semula keputusan yang dibuat kerajaan negeri tidak meneruskan cuti peristiwa sempena Thaipusam pada 28 Januari ini.

Ketuanya, J Jeevabalan, berkata pihaknya kesal dengan keputusan Muhammad Sanusi yang seolah-olah tidak menghormati sensitiviti dan tidak peka terhadap masyarakat kaum India di Kedah.

Beliau berkata, Hari Thaipusam adalah cuti peristiwa bagi Kedah, Pulau Pinang dan Selangor, namun negeri lain tidak membatalkan cuti berkenaan hanya kerana larangan sambutan itu turut dikenakan di negeri terbabit.

“Walaupun negara dalam perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini tidak bermakna Thaipusam ini tidak boleh diraikan di rumah bersama ahli keluarga.
Hari Thaipusam ini bukan tertumpu kepada mengunjungi rakan-rakan mahupun ahli keluarga tetapi lebih kepada menunaikan sembahyang dan membayar nazar.

“Untuk pencerahan Menteri Besar Kedah dalam tempoh Covid-19 ini, setiap perayaan atau hari keagamaan tidak terbatal kerana setiap perayaan mempunyai nilai tersendiri bagi sesuatu kaum.

“Persoalannya, apakah logik yang diguna pakai oleh Menteri Besar tidak meneruskan cuti peristiwa sempena Thaipusam dalam tempoh PKP ini memandangkan perayaan atau hari keagamaan masih berjalan seperti biasa namun cara dan kaedahnya berbeza dalam tempoh Pandemik ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Pergerakan Pemuda MIC Kedah juga ingin meminta penjelasan Menteri Besar berkenaan kenyataan beliau telah berjumpa dengan tiga kumpulan masyarakat India mewakili penganut Hindu bagi menjelaskan mengenai keputusan tidak meneruskan pemberian cuti peristiwa sempena Thaipusam.

“Adakah benar kenyataan tersebut atapun ia semata-mata sandiwara politik? Kenyataan beliau yang sering membandingkan komposisi masyarakat India 6.8 peratus di Kedah dan menidakkan hak masyarakat 6.8 peratus ternyata menguriskan hati masyarakat India.

“Dan jika dibandingkan dengan Kerajaan Barisan Nasional yang telah menghormati masyarakat India Kedah dan memulakan tradisi cuti peristiwa sempena Thaipusam ternyata amat jauh dihargai dan dihormat tinggi,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Muhammad Sanusi menegaskan beliau sama sekali tidak berniat menafikan hak penganut agama Hindu menyambut Thaipusam berikutan keputusan kerajaan negeri membatalkan cuti sambutan perayaan itu di Kedah.

Beliau berkata, keputusan kerajaan negeri tidak mengambil cuti peristiwa berkenaan sama sekali bukan mahu mengenepikan hak mana-mana rakyat di negeri itu.

“Ketika tiada cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam di Kedah sejak sebelum Merdeka lagi, ia tetap disambut bebas dan meriah, hanya dua tahun terakhir ini ia dijadikan cuti peristiwa, bukan cuti umum rasmi negeri.

“Jadi penganut agama terbabit boleh menyambutnya di mana-mana saja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. Cuma sekarang semua orang sedang ‘dicutikan’ akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here