Tok Pa pulih dari Covid-19, dibenar pulang hari ini

0
1

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dibenarkan pulang hari ini setelah 12 hari dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) setelah positif Covid-19.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT setelah 12 hari bertarung di HRPZ II dengan pemantauan rapi oleh doktor, jururawat dan barisan hadapan, pada jam 4.30 petang ini saya dibenarkan keluar hospital.

“Dalam tempoh 12 hari di hospital, sudah pasti yang paling mencemaskan ialah semasa tiga hari di ICU, apabila ada sedikit masalah pernafasan dan kekurangan tenaga.

“Namun dengan pemantauan rapi doktor dan jururawat, serta keyakinan penuh kepada ketentuan Allah SWT, Alhamdulillah saya beransur pulih,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata dia perlu lebih banyak berehat, kurangkan kerja dan tidak boleh bertemu ramai orang.

“Selain itu, pelitup muka, pembersih tangan, penjarakan sosial dan pemakaian face shield perlu menjadi amalan kita semua sepanjang masa sehingga pandemik ini benar-benar pulih,” katanya.

Beliau berkata, pandemik itu memberi pengajaran bahawa ia ketentuan Allah SWT supaya manusia insaf dan sedar betapa kerdilnya kita semua.

Mustapa juga berkata, sepanjang pandemik Covid-19, semua pihak perlu menjaga maslahah umum mengatasi kepentingan peribadi.

“Ancaman ini serius, perlu diambil berat oleh rakyat. Ketakutan kepada Covid-19 biar sebati dengan diri kita kerana kita masih belum memenangi peperangan ini.

“Berdiri teguh di belakang kerajaan, Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak penguatkuasa bagi mempertahankan nyawa serta kehidupan,” katanya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua staf KKM khususnya di HRPZ II, ahli keluarga dan sahabat yang memberi kata kata-kata semangat, ucapan dan doa.

“Semoga Allah SWT menyelamatkan negara kami, pemimpin-pemimpin kami dan semua rakyat daripada Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here