Ambil iktibar Kluster Kebor Air

0
1

PENULARAN wabak Covid-19 di tempat kerja kini semakin membimbangkan susulan ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pekerja.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata situasi itu berlaku sekarang termasuk di Terengganu dengan Kluster Kebor Air dikesan membabitkan penularan jangkitan di tempat kerja.

Menurutnya, sebelum ini berlaku kluster dalam keluarga rapat disebabkan perhimpunan keluarga dan kini pihaknya mula mengesan kluster di tempat kerja.

“Kluster Kebor Air merupakan Kluster keenam di Terengganu yang melibatkan tempat kerja.

“Kluster ini dikesan pada 16 Januari 2021 membabitkan sebuah ‘Pejabat A’ yang sehingga ke hari ini tujuh orang dari 25 staf telah dikesan positif Covid-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, pejabat berkenaan banyak melakukan program bersama masyarakat yang juga membabitkan beberapa pejabat lain yang akhirnya kluster itu menular dengan 13 lagi staf di pejabat lain disahkan positif.

“Kluster ini bukan terhad kepada rakan sepejabat tapi juga sudah menular kepada keluarga staf dan kontak sosial yang lain dengan total kes positif dari kluster ini adalah seramai 35 orang.

“Iktibar dari kluster tempat kerja ini adalah kegagalan dalam pematuhan SOP dan diburukkan lagi oleh pergerakan yang tidak terkawal serta melibatkan kumpulan ramai,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Kebor Air telah menular ke tiga pejabat dan mungkin di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Setiu.

“Lebar dan panjang rantaiannya setakat ini seramai 278 kontak rapat telah dikesan dan kami masih berusaha mengesan kontak rapat yang lain. Tidak termasuk sebuah sekolah (institusi) yang kita syaki mungkin sudah ada penularan.

“Sebanyak 142 ujian masih belum ada keputusan dan jika keadaan begini berterusan katil di Hospital di Terengganu tidak lagi mencukupi untuk menampung semua kes positif tersebut,” katanya.

Dr Nor Azimi berkata, beliau berkongsi kisah kluster itu supaya semua pihak mengambil iktibar kerana sama ada di tempat kerja atau mana-mana sekalipun Covid-19 boleh dicegah jika setiap orang amalkan kepatuhan SOP sepenuhnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here