SEORANG penjawat awam kerugian RM34,500 selepas terpedaya dengan kenalan di media sosial yang kononnya ingin mengirim wang dan hadiah kepada mangsa.
Wanita berusia 34 tahun yang sudah berkahwin serta mempunyai dua anak dan bekerja di Pendang, Kedah itu mengenali suspek yang menggunakan nama Tony Nguyen melalui aplikasi Tagged sejak 9 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa dan suspek kemudian sering berhubung melalui aplikasi Line.
“Pada 15 Januari lalu, Tony Nguyen yang kononnya warga Vietnam mahu mengirim wang, kasut, pakaian selain minyak wangi kepada mangsa sebagai tanda perkenalan antara mereka.
“Suspek meminta mangsa memasukkan wang pada 18 Januari lalu melalui mesin juruwang automatik (ATM) ke tiga akaun secara berperingkat mencecah RM34,500,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian sedar diperdaya dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang.
Elias berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan pelbagai janji manis serta tawaran menarik diberi individu yang baru dikenali melalui laman sosial atau pelbagai aplikasi lain,” katanya. – Malaysiapost

