Perlis benar solat Jumaat di masjid dengan bersyarat

0
1

PERLIS membenarkan Solat Jumaat di semua masjid di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, namun tertakluk syarat ditetapkan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah jemaah solat Jumaat mestilah terdiri anak kariah termasuk imam dan khatib, dengan tidak melebihi kapasiti maksimum mengikut saiz masjid serta tidak kurang tiga orang seperti ditentukan sebelum ini.

Baginda selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bagaimanapun bertitah individu berusia 60 tahun dan ke atas serta kanak-kanak berusia bawah 15 tahun tidak dibenarkan hadir untuk solat Jumaat di masjid.

“Mereka yang diizinkan solat Jumaat diwajibkan mematuhi ketetapan termasuk memeriksa suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran dalam daftar hadir atau melalui aplikasi MySejahtera.

“Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema tidak dibenarkan hadir, begitu juga golongan berisiko sama ada yang mempunyai masalah kesihatan atau memiliki sejarah kontak rapat dengan pesakit Covid-19 atau diarah menjalani kuarantin di rumah, “titah baginda.

Baginda bertitah, ketetapan lain yang mesti dipatuhi jemaah termasuk berkaitan pematuhan penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan arahan berwuduk sebelum hadir ke masjid.

“Semua pengerusi masjid perlu mematuhi ketetapan dibuat dan masjid yang tidak mampu memenuhi semua syarat dalam panduan dikeluarkan MAIPs tidak dibenarkan melaksanakan solat berjemaah dan solat Jumaat berkenaan,” titah baginda.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, MAIPs bersetuju aktiviti secara berkumpulan di masjid dan surau sama ada kelas, kuliah dan pengajian semasa PKP dihentikan, sebaliknya disaran dilakukan secara dalam talian sebagai alternatif.

Bagaimanapun, pengecualian untuk solat jemaah dan solat Jumaat diberikan kepada pelajar yang tinggal di asrama dengan syarat tiada pergerakan keluar serta tiada kontak dengan pihak luar.

Untuk solat lima waktu pula, titah baginda hanya pegawai dan jawatankuasa masjid bertugas dibenar hadir dengan tidak melebihi lima orang, selepas benar-benar dipastikan kebersihan dan kesihatan seperti ditetapkan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here