‘Perlu jujur bro,’ – Najib sindir Tengku Zafrul

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa tiada satu negara pun telah mengambil langkah seperti Malaysia yang menggantung Parlimennya semata-mata untuk meningkatkan ekonomi negara di kala wabak pandemik Covid-19 ini.

Malah, Najib menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah tidak jujur dan tidak tepat dalam menggambarkan situasi darurat negara lain yang tidak menggantung Parlimen seperti Malaysia.

“Perlu jujur, bro. Rugilah negara-negara lain tak gantung parlimen jika benar bahawa langkah ini boleh kuatkan ekonomi.

“Tak tepat untuk samakan Malaysia dengan 80 negara lain dalam dunia yang isytihar darurat.

“Darurat bagi negara-negara lain bermaksud kuasa diberi kepada kerajaan untuk lakukan’ lockdown’ sebab mereka tidak ada akta-akta seperti kita yang boleh lockdown tanpa darurat. Parlimen mereka tak pernah gantung,” kata Najib menerusi Facebooknya, hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul mendakwa perlaksanaan proklamasi darurat telah menakutkan para pelabur asing adalah tidak tepat.

Malah, menurut Tengku Zafrul, Malaysia adalah antara 80 negara yang mengisytiharkan darurat untuk menangani pandemik Covid-19.

Sejak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan proklamasi darurat 12 Januari lalu, rata-rata pemerhati politik menyifatkan ia adalah darurat politik untuk mengekalkan kerajaan PN.

Sidang Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri tidak akan diadakan sepanjang tempoh proklamasi darurat yang berakhir 1 Ogos ini.

“Hanya Malaysia satu-satunya negara dalam dunia gunakan alasan Covid untuk gantung parlimen.

“Senang sahaja, Tengku Zafrul. Namakan satu negara lain dalam dunia yang gantung parlimen (bukan tunda sesi parlimen) selama 7 bulan?,” sindir Najib. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here