POLIS akan membuka sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Persiaran Mahogani, Kota Damansara di Petaling Jaya secara berjadual, bersyarat dan terhad mulai esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata ia susulan pembukaan sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Pelepasan terhad SJR itu dijadual pada setiap Isnin hingga Jumaat iaitu pada sesi pagi bermula jam 6.30 hingga 7.30 pagi dan sesi petang mulai 2.30 hingga 3.30 petang.
“Pelepasan itu hanya dibenarkan kepada penjaga (hanya seorang) bersama pelajar berpakaian seragam menggunakan kenderaan persendirian, guru (ada pas guru), kakitangan sekolah yang bertugas serta bas atau van sekolah membawa pelajar berpakaian seragam dengan surat kebenaran dari sekolah terbabit,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Beliau memberi amaran kepada orang ramai yang tidak layak bagi pelepasan itu supaya tidak mengambil kesempatan untuk melepasinya.
“Pegawai dan anggota polis akan memeriksa pergerakan setiap kenderaan yang melalui kawasan berkenaan.
“Jika ingkar arahan itu, tindakan undang-undang akan diambil mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

