MALAYSIA kini menjadi antara negara yang berprestasi buruk dalam mengendalikan wabak Covid-19, kata pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang.
Beliau berkata, berdasarkan jumlah kes terkumpul tertinggi, Malaysia melakukan lonjakan pada 1 Disember 2020 dan kini berada pada kedudukan lebih teruk berbanding beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Brazil dan Perancis.
“Malaysia melonjak 22 kedudukan dalam carta negara dengan jumlah kes terkumpul tertinggi, daripada kedudukan ke-83 pada 1 Disember 2020 kepada kedudukan ke-61.
“Lonjakan yang lebih teruk berbanding berbanding Amerika Syarikat, Brazil, UK, Perancis, Turki, Itali, dan Sepanyol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menjelaskan pada 1 Disember, Malaysia berada di tempat ke-83 dari segi jumlah kes tertinggi di dunia, dengan 65,697 kes.
Namun begitu, Kit Siang berkata keadaan bertambah teruk dengan negara kini di tempat ke-61 dengan 161,740 kes dan 605 kematian.
Katanya, sejak 1 Disember sehingga hari ini, jumlah kes terkumpul di seluruh dunia meningkat daripada 65 juta kepada 96 juta kes, peningkatan 1.48 kali ganda.
Sementara kes di Malaysia meningkat daripada 65,697 kepada 161,740 kes, peningkatan 2.46 kali ganda iaitu terburuk dalam kalangan 100 negara dengan jumlah kes tertinggi di dunia.
“Atas sebab ini, saya menyokong seruan supaya sidang Parlimen khas mengenai Covid-19 dipanggil, selari dengan Seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat pertama pada 14 Januari 2021.
“Ia menyatakan ‘Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog, dan dibubarkan pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong’,” katanya lagi. – Malaysiapost

