Nurul Huda Abhar
PENINGKATAN kes harian Covid-19 kebelakangan ini disebabkan pesakit terdedah kepada virus itu sejak 14 hari lalu, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata impak pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan sejak 13 Januari lalu hanya dapat dilihat dalam tempoh dua minggu lagi.
“Kalau lihat pada unjuran kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) semalam ialah 1.16 dengan kes 3,306. Bagaimanapun jika dilihat hari ini, kes yang dilaporkan ialah 3,631 dan ia melebihi jangkaan Rt kita.
“Kita jangka pada minggu ketiga Februari, kes yang dilaporkan adalah 5,000 sehari dan akan terus meningkat pada Mac dengan 8,000 kes sehari,” katanya pada sidang media hari ini.
Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata pelaksanaan PKP sangat penting tetapi keberkesanannya termasuk penurunan kes akan dapat dilihat dua minggu lagi.
Dr Noor Hisham berkata, selepas tempoh dua minggu, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menilai semula adakah perlu PKP dilanjutkan untuk 14 hari lagi.
Katanya lagi, pelaksanaan PKP di seluruh negara kecuali Sarawak yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini adalah kerana peningkatan kes bukan hanya berlaku di Lembah Klang.
Sebaliknya, katanya ia hasil daripada rentas negeri dan daerah kes-kes telah bertambah di negeri-negeri di Semenanjung.
“Jadi wajar kita laksanakan PKP untuk seluruh negara. Selain itu, kita lihat perlu untuk ketatkan lagi PKP bagi sektor ekonomi. Tapi kita kena seimbangkan sektor ekonomi dengan perlaksanaan PKP.
“Ini masih dalam perhatian kita untuk dilihat, perkembangan untuk tempoh sehari dua lagi sebelum kita memperketatkan PKP,” ujarnya – Malaysiapost

