PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud disahkan positif Covid-19.
Menerusi satu kenyataan di Facebook (FB) rasmi Umno Kemaman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu dikatakan telah mendapatkan rawatan di hospital.
“Dengan penuh dukacitanya dimaklumkan Datuk Seri Ahmad Said dan Toh Puan Seri Norliza telah didapati positif Covid-19.
“Datuk Seri Ahmad dan Toh Puan Seri Norliza telah menerima rawatan di hospital,” tulis kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan itu juga memohon agar semua pihak mendoakan kesihatan kedua pasangan tersebut.
“Marilah kita bersama-sama doakan kesihatan Datuk Seri Ahmad Said dan Toh Puan Seri akan kembali pulih seperti biasa, InsyaAllah,” katanya
Menurut kenyataan itu, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu dan isteri sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. – Malaysiapost

