Darurat tidak takutkan pelabur, tapi tingkatkan pasaran negara – Tengku Zafrul

0
2

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan bahawa pengisytiharan proklamasi darurat akan menakutkan pelabur.

Malah, beliau menegaskan, ia menjadi sebaliknya dengan peningkatan pasaran modal negara.

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia satu dari 80 negara di seluruh dunia, atau hampir setengah daripada seluruh dunia yang mengisytiharkan darurat.

Tambahnya, beliau memahami bahawa kebimbangan ramai adalah tentang isu menangani Covid-19.

“As I said, public health is key to economic recovery. Saya ingin jelaskan apa-apa keputusan dalam tempoh ini perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atau orang yang dilantik Baginda.

“Kedua, kerajaan menyediakan check and balance. Jawatankuasa Khas Bebas yang terdiri dari Kerajaan, Pembangkang dan pakar-pakar akan menasihati YDPA sekiranya tempoh darurat boleh ditamatkan.

“Ketiga, kerajaan sudah buktikan ia sentiasa dalam perbincangan dengan sektor swasta. Inilah masanya untuk kita berganding bahu dan bekerja sama untuk mengembalikan negara kepada landasan pemulihan ekonomi yang mampan. Now is a good time for better public-private partnership,” katanya dalam sidang media berkenaan pakej PERMAI, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, selepas pengumuman darurat dibuat pasaran modal negara menjadi stabil dan pada awal Januari negara mempunyai aliran masuk asing bersih di pasaran saham.

Tambahnya, Ringgit masih berada pada paras tertinggi berbanding dollar Amerika Syarikat (AS).

“Saya yakin bahawa kita akan melakukan perkara yang betul iaitu memberikan keseimbangan dalam melindungi kehidupan dan mata pencarian.

“Dari segi inisiatif pula, insentif menarik pelaburan sudah ada pelbagai yang kita umumkan semasa PENJANA dan Belanjawan. Domestically, kerajaan juga sudah umumkan peruntukan 15 bilion untuk projek infrastruktur utama, dengan tambahan 2.7 bilion ringgit untuk infrastruktur luar bandar,” katanya lagi.

Sementara itu, katanya, jalan pemulihan ekonomi bergantung kepada keadaan situasi semasa Covid-19.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah yang diperlukan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi menjayakan perlaksanaan vaksin untuk mengawal situasi semasa.

“Oleh itu, kerajaan berpendapat bahawa kesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar terhadap pertumbuhan ekonomi negara masih dalam keadaan terkawal,” ujarnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here