18 kes positif hadir majlis kahwin, 14 positif selepas hadir perhimpunan keluarga

0
2

Nurul Huda Abhar

SERAMAI 18 individu disahkan positif Covid-19 daripada Kluster Rakut di Miri, Sarawak berpunca daripada sebuah majlis perkahwinan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata ia adalah satu daripada sembilan kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini.

“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-144279) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 13 Januari hasil saringan kontak rapat.

“Kluster ini melibatkan sebuah majlis perkahwinan yang diadakan di Sungai Rakut, Jalan Kampung Bakam, Miri.

“Sehingga hari ini, sejumlah 33 individu telah disaring, di mana 10 kes telah dikesan positif Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata seramai 14 individu dikesan positif Covid-19 bagi Kluster Rantau Cempaka yang melibatkan daerah Maran di Pahang dan Hulu Langat di Selangor.

Katanya, kluster tersebut berpunca daripada perhimpunan keluarga di Kampung Felda Cempaka Jengka 2, Pahang.

“Sejumlah 57 individu telah disaring, di mana 14 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Berikut adalah perincian tujuh lagi kluster baharu yang dilaporkan:

KLUSTER PENJARA JALAN SUNGAI JELOK
Kluster pusat tahanan ini melibatkan daerah Hulu Langat di Selangor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan bersasar di Penjara Wanita Kajang di Jalan Sungai Jelok, Kajang. Sejumlah 439 individu telah disaring, di mana 217 kes dikesan positif.

KLUSTER JALAN MASJID
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Lembah Pantai dan Kepong di Kuala Lumpur. Kes-kes bagi kluster ini telah dilapor positif pada 11 Januari hasil saringan bersasar di sebuah syarikat tekstil di Jalan Masjid India.
Sejumlah 120 individu telah disaring, di mana 16 kes dikesan positif.

KLUSTER JALAN TARUKA
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Johor Bahru di Johor. Kes-kes bagi kluster ini telah dilaporkan positif hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Taruka, Kawasan Perindustrian Tampoi, Johor Bahru.
Sejumlah 108 individu telah disaring, di mana 38 kes dikesan positif.

KLUSTER TAMAN SAYONG PINANG
Melibatkan daerah Kota Tinggi di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-128,014) telah dilapor positif pada 7 Januari hasil saringan kontak rapat. Kluster ini melibatkan sebuah majlis perjumpaan keluarga yang terletak di Taman Sayong Pinang, Kota Tinggi, Johor. Sehingga 19 Januari 2021, sejumlah 104 individu telah disaring, di mana 18 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

KLUSTER SRI GADING
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Batu Pahat di Johor. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-154,009) telah dilapor positif pada 16 Januari hasil saringan individu bergejala. Kluster ini melibatkan sebuah kilang tekstil di Kawasan Perindustrian Sri Gading. Sejumlah 48 individu telah disaring, di mana tujuh kes telah dikesan positif.

KLUSTER KUPANG
Melibatkan daerah Baling di Kedah. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-154,612) telah dilapor positif pada 16 Januari hasil saringan individu bergejala. Nama kluster merujuk kepada lokaliti di mana kes-kes berlaku di Mukim Kupang. Sejumlah 54 individu telah disaring, di mana 14 kes dikesan positif.

KLUSTER KEBOR AIR
Kluster tempat kerja ini melibatkan daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Dungun di Terengganu. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-155,009) telah dilapor positif pada 16 Januari hasil saringan kontak rapat. Kluster ini melibatkan dua institusi pengajian awam di Kuala Terengganu. Nama kluster merujuk kepada lokaliti rumah kes indeks di Kampung Kebor Air, Manir.
Sejumlah 264 individu telah disaring, di mana 18 kes dikesan positif.

Sehingga hari ini terdapat 669 kluster dilaporkan dengan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 305. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here