AHLI Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menganggap DAP bukan hanya sekadar ‘punching bag’ tetapi lawan politik sebenar.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali, yang mendakwa setiap kali berlaku pergaduhan antara parti-parti Perikatan Nasional (PN), maka DAP akan diperalatkan.
“Ha ha… bagi saya, DAP bukan ‘punching bag’ lagi… tetapi mereka adalah ‘real political opponent’… so real ‘punching’ opponent,” katanya melalui ciapan di Twitternya.
Terdahulu, Sheikh Umar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh mendakwa setiap kali berlaku pergaduhan antara parti-parti PN, maka setiap kali itu jugalah nama DAP diperalatkan.
Sheikh Umar berkata demikian selepas meneliti kenyataan Annuar berkaitan tiga sebab mengapa Umno perlu tolak DAP seperti dilaporkan muka hadapan Sinchew Daily semalam.
Menurutnya, tindakan sedemikian adalah gambaran Umno sangat lemah yang kononnya hebat tetapi terpaksa bersandar pada DAP untuk dijadikan ‘punching bag’ bagi menutup kelemahan pentadbiran mahupun perbalahan dalaman. – Malaysiapost

