DEWAN Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyarankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengutamakan kebajikan petugas barisan hadapan dan kemudahan di hospital serta pusat kuarantin yang kini berada pada tahap kritikal.
Ketuanya, Shahir Adnan berkata pihaknya memandang serius laporan dan berita daripada petugas barisan hadapan Hospital Sungai Buloh yang membangkitkan isu kekurangan kemudahan asas untuk mereka, ditambah pula kepenatan melampau hingga melangkaui ‘breaking point’ atau takat gagal.
“Tahniah diucapkan kepada Dr Mustafa Kamal, yang memberanikan diri dengan menyatakan kebenaran, walaupun pahit.
“DPIM menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) atau pihak bertanggungjawab tidak mengenakan tindakan kepada Dr Mustafa Kamal, kerana beliau telah menggunakan segala saluran yang ada sebelum membuat komentar secara terbuka, demi kebaikan semua.
“Secara peribadi, saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Dr Mustafa Kamal dan petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh yang telah menyelamatkan nyawa bonda saya ketika bertarung melawan Covid-19 tahap 4 pada awal Januari 2021,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Susulan itu, DPIM berharap kerajaan dapat menghentikan dahulu sebarang projek yang tidak penting ketika negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat pada ketika ini.
“Salurlah sumber kewangan tersebut untuk melawan Covid-19. Contohnya, pembinaan dewan-dewan berjumlah RM 35.43 juta, seharusnya dihentikan dan disalurkan kepada ekonomi rakyat dan barisan hadapan untuk melawan Covid-19.
“Semua pihak perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing agar kita semua dapat keluar daripada pandemik ini dengan cepat.
“Jika barisan hadapan dinasihatkan menjalankan tugas sebagai barisan hadapan, maka ahli politik dan pihak pentadbiran kerajaan juga perlu menjalankan tugas mereka dengan berkesan,” katanya.
Terdahulu media melaporkan seorang doktor dari Hospital Sungai Buloh membangkitkan keadaan bebanan ditanggung petugas kesihatan di kemudahan Covid-19 itu, yang digambarkan sebagai sudah melangkaui takat gagal (breaking point).
Antara lain, doktor itu berkata hospital berkenaan kekurangan kemudahan asas seperti tiada bilik syif on-call dan makanan syif on-call, di tengah peningkatan bilangan kes baru pesakit Covid-19.
Di hari ketiga perintah kawalan pergerakan (PKP) kedua, Malaysia mencatatkan kes tertinggi jangkitan harian dengan 4,029 kes positif Covid-19 baru. – Malaysiapost

