TINDAKAN biadap sekumpulan pesakit Covid-19 yang sedang bergembira dengan menogak minuman keras sewajarnya dikecam.
Perbuatan itu juga dilihat seolah-olah memandang remeh keringat para petugas barisan hadapan negara yang saban waktu bertungkus lumus memerangi pandemik bahaya ini.
Presiden Cuepacs, Adnan Mat berkata ketika para petugas barisan hadapan negara sibuk memerangi musuh yang tidak kelihatan ini, perbuatan biadap sekumpulan pesakit Covid-19 yang tidak segan silu meminum bir berjenama Tiger itu amatlah kurang ajar kerana melakukannya di dalam kawasan fasiliti kesihatan.
“Tindakan tersebut juga seperti tidak menghormati pengorbanan petugas kesihatan dan barisan hadapan yang lain kerana secara jelas melakukan kesalahan di kawasan yang digunakan sebagai fasiliti kesihatan untuk merawat pesakit Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Difahamkan, video yang tular di media sosial itu berlaku di salah sebuah pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah Covid-19 di Sabah.
Video itu telah merakam perbuatan enam pesakit lelaki dan dua pesakit wanita yang sedang menjalani kuarantin sedang berbual sambil menikmati minuman keras berjenis bir.
“Tindakan meminum bir itu juga boleh mengundang ketidakselesaan pesakit lain yang sedang dirawat dan mungkin boleh mencetuskan masalah lain sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.
“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, sewajarnya mereka sentiasa berdisiplin dan mematuhi peraturan apatah lagi ketika sedang mendapatkan rawatan daripada petugas kesihatan,” katanya.
Justeru itu, Adnan berkata, Cuepacs menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang tegas kepada sekumpulan terbabit yang sememangnya jelas sengaja melanggar undang-undang.
“Tindakan yang sewajarnya perlu diambil agar tiada lagi pihak lain yang berani bertindak seolah-olah petugas barisan hadapan kita sedang berseronok atau berhadapan dengan satu perkara yang remeh.
“Cuepacs juga mahu tindakan diambil kepada pihak yang terlibat membawa, membekalkan atau melepaskan minuman keras itu kepada pesakit yang dirawat.
“Sekiranya ada penglibatan oleh pihak pengawal keselamatan atau petugas kesihatan sendiri, tindakan tatatertib wajar dikenakan kerana ia mencemarkan integriti terutamanya membabitkan penjawat awam,” katanya.
Pada masa yang sama Adnan berkata, Cuepacs menasihatkan semua pihak agar tidak melakukan perkara yang jelek di mana-mana pusat kuarantin yang menggambarkan kita sedang bergembira disebalik derita petugas barisan hadapan.
“Pekara ini tidak boleh dipandang remeh dan pihak berkuasa tidak perlu melindungi mereka yang bersalah. Cuepacs berharap tindakan dan keputusan siasatan ini dapat dilakukan dengan segera serta tidak mengambil masa yang lama.
“Sentiasalah jaga tingkah laku masing-masing dan tidak bertindak mengikut perasaan walaupun tertekan atau bosan. Hormatilah petugas barisan hadapan yang berkorban nyawa berhadapan dengan virus Covid-19 ini,” katanya. -Malaysiapost

