Isu dewan Pagoh: Puad sindir PM

0
1

“DEWAN Rakyat boleh digantung, tiga dewan Pagoh tidak boleh digantung ke?” sindir Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menerusi hantaran di Facebook, Puad berkata kos tiga dewan yang dikaitkan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sepatutnya dinaik taraf dewan sedia ada sebagai pusat kuarantin sementara bagi pesakit Covid-19.

“Itu lebih darurat berbanding tiga dewan baru untuk Parlimen Pagoh. Perdana Menteri darurat kena tunjuk teladan.

“Katanya pesakit Covid yang bergejala teruk tidak lagi boleh diterima masuk ke hospital kerajaan. Wad sudah penuh.

“Bagaimana Muhyiddin boleh tergamak bina dewan di Parlimen Pagoh dengan kos yang besar. PM ni serius ke melawan pandemik Covid-19?,” katanya.

Terdahulu tular satu surat yang dipercayai ditandatangani Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Nor Azri Zulfakar kepada Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman mengenai projek tersebut.

Dalam surat itu, Nor Azri didakwa telah memaklumkan kepada Mohamad Zulkefly, bahawa Perdana Menteri telah bersetuju meluluskan peruntukan RM35,435,992.00, bagi pelaksanaan projek pembinaan dewan di Parlimen Pagoh.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan dakwaan bahawa kelulusan peruntukan pembangunan sebanyak RM35.43 juta bagi Parlimen Pagoh hanya untuk sebuah dewan sahaja sebalikny peruntukan pembangunan tersebut melibatkan pembinaan tiga buah dewan orang ramai.

Tiga dewan tersebut, jelas PMO ialah Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta; Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).

“Peruntukan pembangunan ini bukan untuk pembinaan sebuah dewan seperti mana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. Pembinaan ketiga-tiga dewan ini adalah untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.

“Perolehan bagi ketiga-tiga projek pembinaan dewan ini bukan secara rundingan terus tetapi mengikut tatacara perolehan secara tender yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here