PEMUDA Umno berharap institusi perbankan dapat menawarkan moratorium kepada rakyat susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata jika Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam juga memperakui keupayaan kewangan bank-bank masih kukuh untuk menawarkan moratorium, tidak salah bank dan institusi kewangan menzahirkan sifat tanggungjawab sosial korporat mereka sekali lagi dalam membantu rakyat.
“Mohon sangat agar pihak kerajaan khususnya Kementerian Kewangan dapat menyelaras dan memastikan bank-bank dan institusi-institusi kewangan dapat menawarkan moratorium kepada rakyat sempena PKP 2.0 ini.
“Ramai yang benar-benar susah dan terkesan teruk akibat perlaksanaan PKP 2.0 yang sememangnya tidak dapat dielakkan untuk tangani kes-kes Covid-19 yang meningkat dan makin meruncing,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau dalam pada itu turut menasihatkan pihak perbankan tidak mengambil kesempatan sekiranya moratorium ini dilaksana.
“Jangan pula cuba mengambil kesempatan dalam kesempitan rakyat dengan mengenakan caj-caj tambahan mahupun menggandakan keuntungan terakru hingga menambah beban pelanggan hanya kerana menawarkan penangguhan bayaran ansuran dan bukannya pelupusan bayaran,” katanya. -Malaysiapost

