“APA saya peduli (dengan) legasi, saya tak kisah,” kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau tidak mempedulikan sebarang legasi yang dikaitkan dengan dirinya kerana baginya semua itu tidak penting.
“Saya yakin apabila saya mati (nanti), ramai akan memburuk-burukkan saya, dan berkata bermacam-macam.
“Ia (legasi) tidak penting (kerana) saya akan mati, legasi apa?” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya apa yang diharapkannya akan menjadi legasi dirinya semasa dalam temu bual dengan stesen radio BFM89.9 pagi ini.
Dr Mahathir melakar sejarah sebagai perdana menteri paling tua berkhidmat ketika memimpin Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei 2018, dua bulan sebelum ulang tahunnya yang ke-93.
Kemenangan itu juga menyaksikan kekalahan pilihan raya pertama buat BN sejak kemerdekaan.
Sebelum PRU-15, Dr Mahathir meninggalkan Umno sebagai protes terhadap skandal 1MDB dan menubuhkan Bersatu untuk menentang parti nasionalis Melayu tersebut.
Beliau kembali berpolitik setelah 15 tahun bersara sebagai perdana menteri, yang mencatatkan rekod 22 tahun.
Namun, pentadbiran kali kedua Dr Mahathir hanya bertahan 22 bulan setelah beliau mengundurkan diri secara tiba-tiba pada 24 Februari 2020.
Ahli Parlimen Langkawi itu kemudian disingkirkan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetapi kemudiannya menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air.
Selain peletakkan jawatannya, Dr Mahathir juga menjadi berita utama antarabangsa tahun lalu ketika dia menulis bahawa “Umat Islam berhak untuk marah dan membunuh jutaan rakyat Perancis kerana penyembelihan di masa lampau”.
Beliau dikutuk di seluruh dunia dan bahkan Twitter mengeluarkan ciapannya yang didakwa menyinggung perasaan setelah pada awalnya dilabelkan sebagai memuliakan keganasan.
Komen itu, ditulis sebagai sebahagian daripada catatan blog yang lebih panjang, adalah sebagai tindak balas terhadap kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai Islam setelah seorang guru sekolah menengah Perancis yang memaparkan kartun Nabi Muhammad yang dianggap menghina kepada muridnya dibunuh dengan kejam.
Bagaimanapun, Dr Mahathir menjelaskan, bahawa komennya telah disalahtafsirkan dan dibaca di luar konteks. -Malaysiapost


This song suits Tun and his response. https://www.youtube.com/watch?v=O4irXQhgMqg