Covid-19: 4 Adun Perlis dikuarantin

0
1

EMPAT Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis sedang menjalani proses kuarantin dan masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.

Proses kuarantin itu dijalankan selepas mereka antara yang hadir Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar dihadiri Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin pada 3 Januari lalu.

Empat wakil rakyat ialah Adun Santan, Azizan Sulaiman; Adun Beseri, Ruzaini Rais; Adun Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya dan Adun Chuping, Asmaiza Ahmad.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata sehingga kini semua Adun berkenaan belum disahkan Covid-19, namun mereka sudah menjalani ujian saringan dan diminta mengasingkan diri serta dikuarantin mengikut tempoh ditetapkan.

“Kita belum dapat pastikan berapa jumlah sebenar, tetapi saya dimaklumkan empat wakil rakyat kita menghadiri mesyuarat sama yang dihadiri Zahidi.

“Mereka sudah menjalani ujian saringan secara sukarela dan turut dinasihat mengasingkan diri dan dikuarantin mulai semalam, sehingga keputusan ujian diperolehi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Azlan berkata, tindakan meminta semua Adun berkenaan menjalani proses kuarantin diambil agar ia tidak memberi risiko yang besar kepada masyarakat.

“Bagi individu lain yang turut hadir mesyuarat sama atau menjadi kontak rapat Zahidi pada acara selain Mesyuarat Perwakilan Umno Padang Besar, diminta supaya tampil dan melaporkannya kepada pihak berkuasa kesihatan untuk dibuat saringan,” katanya.

Rabu lalu, Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan awal ujian saringan yang dilakukan.

Beliau kini sedang menjalani rawatan susulan dan dikuarantin bagi tujuan pemulihan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here