Isu potong mata: Itu rumusan wartawan – FAM

0
1

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM)menafikan mengeluarkan kenyataan Kelantan FC akan dikenakan pemotongan tiga mata dalam Liga Perdana musim ini jika Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemainnya.

Badan bola sepak itu berkata laporan di media itu hanya rumusan yang dibuat sendiri oleh wartawan yang menemubual Setiausaha Agung mereka, Stuart Ramalingam.

Jelas FAM, Stuart telah mengelak untuk menjawab soalan mengenai pemotongan mata itu supaya tidak mengeruhkan keadaan di antara KAFA dan Kelantan FC.

“FAM ingin mengingatkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai ZamSaham agar tidak terburu-buru dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di media sosial tanpa memeriksa ketepatan fakta tersebut terlebih dahulu dan cuba menyerang FAM dengan mengaitkan pula isu-isu yang tiada kena mengena dalam hal ini.

“Perkara seperti ini boleh dielakkan daripada berlaku jika Norizam menghubungi terus Setiausaha Agung FAM untuk mendapatkan penjelasan atau pengesahan,” kata Stuart dalam  kenyataan di Facebook rasmi FAM.

FAM turut memuat naik klip audio rakaman perbualan temu ramah yang telah dibuat oleh wartawan berkenaan ketika menghubungi Stuart, yang mana ketika menjawab soalan, Stuart langsung tidak menyatakan mengenai pemotongan mata terhadap Kelantan FC, seperti yang dilaporkan dalam artikel tersebut.

FAM juga akan mendapat penjelasan daripada agensi berita yang mengeluarkan laporan itu atas sebab kandungannya boleh dianggap berlainan daripada jawapan yang diberi dalam temu ramah berkenaan.

Isu berkenaan menjadi panas apabila Norizam membidas FAM u dengan menyifatkan tindakan tersebut tidak adil ketika pasukannya sudah bergerak berasingan selari dengan penswastaan.

“KAFA dah jelaskan, baki hutang mereka akan bayar. Kelantan FC dah nak fokus ke depan. FAM pula sepatutnya membantu penswastaan.

“Bukannya awal-awal dah cerita nak tolak tiga mata, kemudian tanpa sebarang pertanyaan kepada kelab dan KAFA terlebih dahulu. Mohon FAM, biar lebih bijak dari biasa,” katanya menerusi Facebook. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here