PROKLAMASI Darurat yang dilaksanakan selepas pungutan suara yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan disertai hampir 120,000 responden menunjukkan bahawa majoriti rakyat bersetuju dengan pelaksanaannya.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nazir Helmi berkata, rakyat melihat darurat ini sebagai suatu tindakan yang wajar, kerana kepentingan nyawa dan keselamatan itu lebih besar agendanya berbanding yang lain.
Katanya, bukan mudah untuk rakyat menelan kepayahan ini, namun inilah hakikat yang perlu diakui bagi memastikan kestabilan yang lebih baik dalam tempoh yang bakal mendatang.
“Pemuda PAS menzahirkan rasa marah dan kekecewaan yang teramat kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tindakannya mengajak semua Ahli Parlimen menderhaka dan menentang Proklamasi Darurat ini.
“Beliau sepatutnya dilihat sebagai tokoh negara yang rasional dan menolak matlamat peribadi dalam keadaan getir ini. Namun sebaiknya berlaku, beliau memilih untuk menjadi batu api dan mengheret rakyat ke arah kegusaran. Tanpa segan silu, beliau menjadikan keselamatan rakyat sebagai taruhan sekali lagi, demi mencapai cita-cita peribadinya,” katanya menerusi kenyataan.
Nazir berkata Pemuda PAS menegaskan bahawa sebarang usaha untuk mempertaruhkan nyawa rakyat merupakan pengkhianatan yang besar kepada Yang di-Pertuan Agong, negara serta seluruh rakyat jelata.
“Cadangan gopoh serta tidak bijak Anwar untuk menolak Proklamasi Darurat ini juga langsung tidak disertakan dengan idea lain, selain daripada mendesak untuk diadakan Persidangan Parlimen dalam keadaan rakyat sedang diancam jangkitan wabak.
“Setakat hari ini, sudah lima Ahli Parlimen dijangkiti wabak Covid-19. Masih perlukah sidang Parlimen diadakan? Dan apa muslihat Anwar mendesak persidangan Parlimen? Untuk jatuhkan kerajaan melalui undi tidak percaya? Tidak cukupkah kita dengan apa yang berlaku di Sabah selepas kerajaan dijatuhkan, dan seluruh rakyat terpaksa menanggung akibatnya?,” katanya.-Malaysiapost

