POLIS mengesan modus operandi (MO) sama digunakan pengurus madrasah yang dikenali sebagai Ustaz Budak dalam melakukan perbuatan lucah melampau terhadap pelajarnya.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, MO itu dikesan hasil siasatan awal terhadap mangsa yang membuat laporan terhadap suspek atau nama sebenarnya, Syamsul Zaman Sukri, 32.
Beliau berkata, pihaknya menerima empat laporan polis iaitu tiga di Machang dan satu di Kota Bharu berkaitan kes berkenaan.
“Dalam siasatan awal memang dia tidak mengaku, tapi hasil siasatan kita pula ada mangsa, saksi dan bukti yang mengaitkan perbuatan beliau (Ustaz Budak).
“Kalau satu laporan, mungkin kita boleh cakap fitnah tapi bila laporan lebih daripada satu dan ada bukti pula mengaitkan dakwaan, kita kena siasat.
“Semua mangsa menyatakan MO sama mengenai bagaimana dia mendekati mangsa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Bagaimanapun, Shafien enggan mendedahkan secara terperinci MO dilakukan suspek berikutan kes masih dalam siasatan.
Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan hanya empat laporan sahaja dibuat memandangkan tiada laporan baharu diterima dalam tempoh dua hingga tiga minggu ini selepas suspek ditahan.
Pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mangsa lain akan membuat laporan selepas melihat ada mangsa berani membuat laporan polis terlebih dahulu.
“Mungkin sebelum ini mangsa takut, malu atau tidak mahu mengaibkan guru mereka, tapi bila ada yang buat laporan, barulah mereka ikut sama buat laporan.
“Malah, kami akan tetap menjalankan siasatan sekiranya ada mangsa tampil membuat laporan bagi kejadian yang sudah beberapa tahun berlaku,” katanya.
Semalam, Ustaz Budak didakwa di Mahkamah Sekysen Kota Bharu atas lapan pertuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak lelaki pada November 2017 hingga Oktober tahun lalu.-Malaysiapost

