Kapal zaman British timbul di Kuala Lipis selepas banjir surut

0
1

SEBUAH kapal lama dipercayai peninggalan zaman British ditemui di tebing Sungai Pagar, Penjom, Kuala Lipis, Rabu lalu susulan banjir besar di kawasan berkenaan surut.

Malangnya, artifak sejarah itu dileraikan pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil komponen kapal itu termasuk paku dan tembaga kapal berkenaan.

Penduduk, Mohd Hafiz Jalaluddin@Mohd Rashid, 41, berkata, kapal itu ditemui oleh nelayan kampung di tebing sungai berkenaan selepas banjir surut pada Rabu lalu.

“Saya hanya mengetahuinya semalam selepas ia mula viral di media sosial dan terus ke lokasi penemuan kira-kira jam 6 petang semalam.

“Namun malangnya ia sudah dileraikan dan ketika itu terdapat dua individu sedang mengambil komponen kapal itu terutamanya paku dan tembaga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Hafiz yang juga Penghulu Mukim Kechau berkata, susulan itu beliau memaklumkan penemuan itu kepada Penghulu Mukim Penjom untuk membuat laporan kepada pihak Berkuasa.

“Saya anak jati Penjom dan kami penduduk di sini memang mengetahui mengenai kisah kawasan ini dahulunya Pelabuhan kerana Kuala Lipis ketika itu adalah ibu negeri Pahang.

“Saya harap pihak berkuasa dapat segera menutup kawasan ini kerana mungkin lebih banyak artifak sejarah yang ada di kawasan ini terutama di dasar Sungai Lipis,” katanya.

Menurutnya, kapal yang ditemui itu dianggarkan sepanjang 15 meter namun bahagian belakang kapal sudah tiada dan serpihan kapal itu boleh ditemui berselerakan sepanjang tebing sungai.

“Kapal ini dipercayai berusia 200 tahun peninggalan British dan dimiliki syarikat Vivian’s & Son berdasarkan plak tembaga yang ditemui pada kapal itu.

“Plak tembaga kapal itu turut mempunyai kesan tembakan dan tidak mustahil ia karam akibat diserang,” katanya.

Menurutnya, beliau difahamkan terdapat video mengenai penemuan kapal itu termasuk yang merakam aktiviti meleraikan artifak sejarah itu.

“Difahamkan juga pihak polis sudah menahan individu yang dipercayai meleraikan kapal berkenaan untuk siasatan, selain beberapa kepingan besi yang di pulangkan semula oleh penduduk yang mengambilnya.

“Saya juga ada dihubungi pihak Jabatan Warisan Negara mengenai penemuan itu dan saya memohon jasa baik semua yang ada mengambil komponen kapal berkenaan kepada pihak berkuasa,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here