Khairuddin ajak Anwar bekerjasama, rayu batal darurat

0
1

Bekas pengasas bersama Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mempelawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan pemimpin parti politik yang lain untuk bersama-sama membuat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah agar membatalkan proklamasi darurat.

Menurutnya, sekretariat yang dibentuknya sudah menghantar surat kepada Anwar, termasuk kepada semua ahli parlimen, kumpulan badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan profesional serta pemimpin-pemimpin masyarakat bagi tujuan tersebut sejak tiga hari lepas(Selasa).

“Ini bukan soal untuk sesiapa cuba dapatkan ‘mileage’ atau kredit politik tetapi usaha ini mesti dilaksanakan secara jujur dengan semangat perpaduan di kalangan pemimpin-pemimpin pembangkang demi masa depan kesejahteraan rakyat malaysia.

“Pihak kami telah menghubungi semua ketua-ketua parti dari Pakatan Harapan sejak beberapa hari yang lepas bagi mendapat pandangan keatas deraf deklarasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang sebelum ini merupakan pengkritik tegar kepimpinan Anwar Ibrahim memaklumkan, kerjasama yang mahu dibuat tersebut bukan bertujuan untuk meraih sokongan politik sebaliknya satu usaha bersama bagi menyelamatkan negara ini daripada penyalahgunaan kuasa oleh Perdana
Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia berikutan dakwanya, Muhyiddin yang ketika ini sudah kehilangan majoriti sokongan di Parlimen, menggunakan proklamasi darurat bagi meneruskan survival jawatannya sebagai perdana menteri.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan, pihaknya sudah berjaya memperoleh sebilangan tandatangan daripada ahli-ahli parlimen.

“Apapun matlamat kita sama jadi lebih baik untuk semua pihak yang mempunyai matlamat yang sama agar bergerak secara kolektif dan menyeluruh dalam satu platform yang sama.

“Sesungguhnya juga, kami amat ikhlas untuk menjemput dato seri anwar ibrahim mencapai matlamat yang sama dengan sekretariat kami secara satu pasukan agar kita akan dapat memperolehi hasil yang lebih effektif.

“Beberapa tandatangan dari ahli-ahli parlimen sudah pun diperolehi oleh sekretariat kami mulai hari ini,” katanya.

Terdahulu, Anwar Ibrahim mencadangkan semua Ahli Parlimen menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan baginda membatalkan proklamasi darurat dan menitahkan sidang Parlimen diadakan secepat mungkin.

Presiden PKR itu berkata, beliau sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen supaya mereka berbuat demikian dalam kadar segera.

“Dalam surat terbabit, saya mencadangkan kepada semua Ahli Parlimen supaya mengemukakan rayuan dalam kadar segera. Warkah terbabit juga hendaklah disesuaikan menurut pertimbangan mereka atau parti,” katanya dalam satu memo dari Pejabat Ketua Pembangkang semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here