KELANTAN FC akan dikenakan pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Premier musim ini sekiranya Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) gagal melunaskan tunggakan gaji 11 bekas pemain pasukan itu.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata keputusan itu dicapai pada Jawatankuasa Status FAM dan bakal dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM sekiranya Kafa gagal melunaskan tunggakan tersebut dalam tempoh ditetapkan.
“Walaupun proses pemisahan status daripada persatuan bola sepak kepada kelab sudah selesai, tindakan masih boleh diambil ke atas mana-mana pasukan kerana isu ini melibatkan kebajikan pemain,” katanya seperti dilapor Bernama.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd Joehari Ayub dilaporkan berkata 11 bekas pemain Kelantan telah membuat tuntutan rasmi berjumlah RM187,778.92 kepada Kafa.
Menurutnya, Kafa dikehendaki membayar tunggakan gaji kepada Muhammad Fauzi Rozlan berjumlah RM63,628.18; Muhammad Zulfahmi Awang (RM50,000); Muhammad Afiq Azuan (RM32,141.99) dan Wan Mohammed Afiq Wan Mohamed Kasbi (RM21,000).
Kafa juga perlu melunaskan tunggakan gaji kepada Mohamad Azzrie Aripin sebanyak RM4,075; Muhammad Syafiq Syahmi Husin (RM3,877) serta Muhammad Fahmi Izzuddin Ab Rahman (RM2,681).
Pemain lain yang membuat tuntutan ialah Ahmad Fathi Irfan Azlan sebanyak RM3,279; Mohamad Fazliera Ezlan Mohd Rosli (RM3,126.25); Ahmad Hamzalah Zulkiflee (RM2,681) dan Muhammad Fikri Hakim Kama (RM1,289.50).
Menurut Stuart, wakil Kafa dan Kelantan FC pernah mengadakan pertemuan dengannya sebelum ini, dan Kafa memberi jaminan akan melunaskan semua tunggakan gaji pemain berkenaan.
Kelantan pernah dipotong tiga mata dalam saingan Liga Premier musim lalu susulan kegagalan Kafa menjelaskan tunggakan gaji beberapa pemain mengikut tempoh yang ditetapkan. – Malaysiapost

